Duka Bersulam Cinta bab 4


Usai akad nikah Uzair berjalan mendekati Liya lalu duduk bersimpuh di hadapan isteri yang baru diakadnya sebentar tadi. Semua mata yang memandang ke arah mereka hanya tersenyum. Serasi sungguh pasangan pengantin ini, bagai pinang dibelah dua. Tengku Halim dan Tengku Hasiah pula kelihatan sungguh gembira dengan perkahwinan anak perempuan mereka itu. Manakala Megat Nordin dan Tunku Melur Noraini juga tidak lekang dengan senyuman di bibir masing-masing. Bahagian sungguh mereka pada hari itu.
Uzair dengan tenangnya menyarungkan cincin pada jari manis sebelah kiri tangan Liya. Bagi Liya, jantungnya seperti mahu melayang saat tangannya disentuh dan dipegang oleh lelaki yang baru sah menjadi suaminya itu tadi. Selepas itu giliran Liya pula menyarungkan cincin pada jari manis suaminya itu. Uzair kelihatan hanya tersenyum memandang isterinya itu. Selepas menyarungkan cinta pada jari suaminya Liya dengan teragak-agaknya mencium tangan suaminya itu. Sebaik saja Liya mendongakkan kepalanya suaminya itu merapatkan lagi jarak antara mereka. Kemudian dagu Liya dipegang sejemput lalu dikucup dahi isterinya itu. Selepas itu beralih pula pada kedua-dua belah mata dan berakhir di kedua-dua belah pipi Liya. Bagaikan pasangan yang berkahwin atas dasar cinta kelihatan mereka berdua ni. Bagi Liya, dia sendiri pun sukar untuk menggambarkan rasa gugupnya ketika itu. Bagaikan darah berhenti mengalir.
Tiba-tiba Liya berasa seperti pergelangan tangannya dicengkam kuat. Berkerut dahinya menahan sakit akibat cengkaman itu. Wajah suaminya itu dipandang seketika. Sungguh bengis kelihatan. Liya cuba meronta agar tangannya dilepaskan namun usahanya itu gagal. Uzair hanya tersenyum sinis. Kemudian dengan perlahan-lahan mukanya dirapatkan ke telinga Liya dan berbisik.
“Kau tunggulah pembalasan aku!!!”

“Ya Allah!!” Tersedar Liya dari lamunannya. Berkali-kali dia beristighfar di dalam hatinya. Kenapalah mimpi semalam masih berlegar-legar dalam mindanya. Hatinya semakin gusar. Petanda apakah mimpi itu? Masih tertanya-tanya Liya pada dirinya sendiri.
Liya memandang ke arah bakal suaminya itu. Lelaki itu kelihatan segak mengenakan baju melayu putih berserta songkok. Jelas sekali menampakkan ketampanannya.
‘Betul ke apa yang aku buat ni?’ Bicara Liya dalam hati. Liya kemudian memandang mamanya. Ingin disampaikan rasa tidak senang hatinya itu namun dia tidak mahu mamanya itu risau.
“Liya, kenapa ni? Mama tengok gelisah semacam je.” Tanya Tengku Hasiah saat matanya bertentangan dengan mata anak perempuannya itu. Sungguh wajah Liya kelihatan gusar saat itu. Sebagai ibu dia tahu apa perasaan anaknya ketika itu. Dengan perlahan-lahan tangan Liya digenggam. Mungkin dengan cara itu dia dapat menyalurkan sedikit kekuatan untuk anaknya itu
“Liya hanya gugup mama, rasa macam mimpi je Liya kahwin hari ni..” Jelas Liya. Dia turut sama mengeratkan genggaman tangan mamanya itu. Tenang sedikit rasa gusar hatinya itu.
“Biasalah tu, saat mula-mula nak kahwin,  Macam-macam perasaan timbul. Ini semua kerja syaitan. Dia nak menggagalkan musuhnya daripada mendirikan masjid. Liya jangan risau, insyaAllah semua nerjalan dengan lancar.” Balas Tengku Hasiah menenangkan hati anaknya itu. Liya hanya tersenyum.
“Dah dah, akad nikah dah nak mula tu..” Kata Tengku Hasiah.

Hari yang bersejarah bagi kedua-dua bakal pengantin ini didatangi kaum kerabat kedua-dua belah pihak. Kelihatan keluarga dua-dua pihak daripada keturunan yang kaya-kaya. Tidak heranlah majlis pada hari itu dibuat secara besar-besaran.
Suasana yang hinggar-binggar mula senyap saat khutbah nikah disampaikan. Tekun Liya mendengarnya. Setelah mendengar keseluruhan isi khutbah nikah itu, secara jujurnya Liya dapat rasakan, betapa hebatnya hikmah orang yang berkahwin berbanding mereka yang hidup bujang. Betapa Islam memuliakan mereka yang memilih jalan perkahwinan daripada mereka yang masih terdedah dengan pintu-pintu kemaksiatan.

Selepas itu upacara akad nikah dijalankan. Dengan hanya satu lafaz agung, yang haram menjadi halal, yang menyumbang ke arah kemaksiatan menjadi ibadah, yang keji menjadi suci terpuji. Sungguh Allah telah menyediakan jalan yang paling mudah untuk menghalalkan cinta sepasang anak Adam, sepertimana yang terdapat dalam hadith bahawa sebaik-baik percintaan adalah percintaan selepas pernikahan.
Bukannya Allah tidak mengerti rasa rindu hambanya, rasa kasih yang tumbuh buat insan lain, rasa resah dan duka yang menjerut hati , di mana saat itu kita sebenarnya memerlukan seseorang untuk menjadi bahu tempat kita menangis, mendengar jeritan hati untuk kembalikan semangat untuk terus hidup.
Lantas Allah menciptakan kita seorang kekasih , moga dengan hubungan kita dengan kekasih itu membuahkan ketenteraman, dan dengan itu Allah menganugerahkan jalan pernikahan. Bercintalah kamu keranaNya. Air mata yang mengalir di pipi disapu oleh Liya dengan perlahan. Kini dia sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Ya, seorang lelaki bernama suami.

Selepas itu Uzair melafazkan taklik. “Bahawa adalah saya Megat Uzair Zulfikar Bin Megat Nordin dengan ini bertaklik iaitu jika saya tinggalkan isteri saya Tengku Asmat Liyana Binti Tengku Halim selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama yang tersebut padahal dia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mempedulikannya selama empat bulan atau lebih kemudian dia mengadu kepada kadi atau hakim syarak dan manakala sabit aduannya dan dia memberi kepada kadi atau hakim syarak bagi pihak saya sebanyak RM1.00  maka ketika itu tertalaklah dia dengan satu talak khuluk.”
Tengku Halim tidak dapat menyertai mereka pada hari itu kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan. Dia terpaksa ke Belanda atas urusan kerja. Jadi dia telah mewakilkan wali hakim sebagai penggantinya. Walaupun begitu, urusan akad nikah itu berjalan dengan lancar.
“Apalah papa ni, hari nikan hari nikah Liya. Kerja lagi penting kot daripada anak sendiri..” Sedih Liya kerana papanya tiada disaat hari pentingnya.
“Entahlah papa kamu ni, tapi takpalah. Semuanya dah pun selesai. Liya dah jadi isteri Uzair sekarang ni. Jadi jangan sakiti hati suami tau. Ingat, syurga seorang isteri di bawah tapak kaki suami..” Pesan Tengku Hasiah. Tengku Hasiah sendiri pun pelik dengan suaminya itu. Bukannya tidak boleh ditunda kerja itu, sebaliknya dia yang berkeras mahu ke sana. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh suaminya itu.

Uzair berjalan mendekati Liya. Bagai tergambar mimpi Liya malam tadi. Hati Liya mula menjadi gusar. Runsing kejadian yang sama akan berlaku. Suaminya itu kelihatan hanya tersenyum. Adakah perkara yang berlaku di dalam mimpinya semalam akan menjadi sebuah realiti?
Uzair duduk di hadapan Liya. Kemudian dia mengeluarkan sebentuk cincin dan menyarungnya pada jari manis sebelah kiri tangan Liya. Liya nampak begitu gemuruh saat itu. Uzair yang menyarungkan cincin itu hanya kelihatan selamba. Selepas itu giliran Liya pula menyarungkan cincin pada jari Uzair. Uzair hanya tersenyum. Perlahan-lahan Liya mengucup tangan Uzair. Kemudian Uzair mendekatkan tubuhnya dengan Liya. Dagu Liya dipegang sejemput. Perlahan-lahan dia mengucup dahi Liya, kemudian kedua-dua belah mata Liya dan berakhir di kedua-dua belah pipi Liya. Sukar digambarkan rasa gugup Liya ketika itu. Darah yang mengalir bagaikan berhenti. Kejadian yang sama berlaku dalam mimpinya kini benar-benar berlaku. Tinggal ugatan suaminya saja belum kedengaran di cuping telinganya. Debaran di dada kian terasa.
Uzair tersenyum kepada Liya. Tangan isterinya itu digenggam erat. Kemudian dia mendekatkan mukanya di telinga Liya dan berbisik.
“Thanks sebab sudi jadi isteri saya..” Kata Uzair dengan nada puitis. Liya yang mendengarnya terkejut. Otaknya mencerna dengan pantas kata-kata yang baru dilafazkan di cuping telinganya. Sungguh berbeza dengan kata-kata yang dilafazkan di dalam mimpinya. Senyuman kini terukir di bibirnya. Maknanya mimpinya semalam hanya sebuah mimpi, bukan suatu petanda buruk yang akan berlaku kepadanya. Tapi ada sesuatu yang mengganggu perasaaannya saat itu. Kenapa jantungnya berdegup kencang saat itu? Bagaikan ada satu perasaan asing yang menyelinap masuk ke dalam hatinya saat mendengar kata-kata suaminya itu tadi. Jiwanya bagai dibelai dengan kelembutan suara Uzair.
“Lah, kenapa awak diam ni? Awak tak suka ke jadi isteri saya?” Tanya Uzair kerana isterinya itu hanya mendiamkan diri.
“Eh taklah, saya bersyukur sangat semuanya berjalan dengan lancar and thanks sebab awak pun sudi jadi suami saya..”
“Amboi pasangan mempelai ni, tak menyempat-nyempat. Mentang-mentanglah status haram dah menjadi halal, ” Usik suatu suara. Yang lainnya terus gelak. Malu Liya dibuatnya. Uzair macam biasalah, selamba.

Para tetamu yang menghadiri majlis akad nikah itu dijamu dengan sedikit santapan. Keluarga kedua-dua belah pihak masing-masing rancak berbual. Kelihatan Tengku Hasiah dan Tunku Melur Noraini juga rancak berbual.
“Akhirnya jadi besan juga kita ya..” Tunku Melur Noraini berkata sambil tersenyum.
“A’ah, akhirnya hajat saya menjadi kenyataan juga..gembira saya tengok mereka tu. Nampak serasi je bersama..” Balas Tengku Hasiah. Jelas riak wajah mereka sungguh bahagia.
“A’ah, cantik betul menantu saya tu. Tengkunya balik bila Yah?” Tanya Tunku Melur Noraini.
“InsyaAllah sebelum bersanding. Entahlah, saya pun tak faham. Anak nikah pun masih sempat bekerja..” Tengku Hasiah berkata sambil ketawa.
“Biasalah kan, orang business. Saya ni pun selalu ditinggalkan. Sejak Zair ambil alih hal-hal syarikat ni je kurang sikit aktifnya Megat tu. Kalau tak, nak pandang muka dia pun susah..” Tunku Melur Jelita pula yang ketawa.
“Nak buat macam mana, dah nasib kita macam ni kan. Sabar jelah Tunku. Eh eh, jemputlah makan..” Jemput Tengku Hasiah. Masing-masing ketawa selepas itu.
JODOH!! Satu agenda yang besar dalam kitaran hidup manusia. Jodoh juga adalah agenda pelengkap untuk kesejahteraan dan tuntutan fitrah manusia normal yang dicipta oleh Allah. Indahnya Islam yang mensyariatkan perkahwinan iaitu ikatan dan persetujuan antara dua makhluk, iaitu wanita dan lelaki secara sah di sisi syarak dan undang-undang yang memang secara azalinya saling memerlukan. Tatkala terciptanya Adam maka diciptakan juga oleh Allah akan Hawanya.
Jodoh, rezeki dan maut merupakan takdir yang ditentukan Allah dalam diri seseorang. Sebagai seorang insan, kita dituntut supaya bersabar dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang sesuai dan diberkati Allah. Janganlah cepat merasa putus asa dan kecewa dengan perkara yang telah terjadi,  mungkin disebalik keputusan Allah itu ada hikmah yang sangat besar yang terkandung di dalamnya sedangkan kita tidak mampu untuk menjangkaunya.

****************************************

Kediaman Tengku Halim penuh didatangi sanak saudara. Riuh rendah, gilang gemilang menyambut hari bahagia Liya dan Uzair. Bahagia? Entahlah. Dari pelbagai pangkat, rupa semuanya turut sama hadir memeriahkan lagi majlis itu. Lauk-pauk pelbagai jenis dihidang. Pihak katerer bertungkus-lumus bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar.
Liya yang mengenakan busana kurung moden yang berwarna biru firus Tiffany. Dihiasi dengan kemilau jemaki berwarna putih dengan sentuhan sulaman lembut mawar putih. Dikatakan lebih dari 3000 batu swarozki telah diuliskan di atas busana istimewa yang anggun itu. Nampak elegan dengan suntikan mewah tetapi masih mengekalkan kemanisan pakaian pernikahan.
Tetapi mungkin lebih cantik jika Liya mengenakan tudung semasa majlis itu. Biasanya gaya tudung boleh mewarnakan aura yang lebih manis dan sopan. Liya hanya mengenakan selendang yang menutup sebahagian kepalanya sahaja. Namun, masih tetap anggun kelihatan. Wajahnya juga kelihatan bertambah manis dan anggun setelah disolek dan ditatarias oleh jurusolek yang berpengalaman dengan layangan magistiknya.
Uzair pula mengenakan Tuxedo hitam dan berkemeja putih di dalamnya bersertakan tie yang berwarna biru firus jelas segak kelihatan. Bagaikan seorang putera raja mengahwini sang puteri. Sungguh sesuai digandingkan dengan Liya.
Ramai yang terpengun melihat keserasian pasangan mempelai itu. Sesi renjis-merenjis bermula. Para tetamu pula sedang menjamu selera. Majlis itu diiringi dengan musik latar. Lagu-lagu pengantin diputarkan. Setiap insan di situ mengukirkan perbagai corak senyuman. Turut merasai detik gembira pasangan mempelai itu.
Liya pengantin perempuan telah menerima 7 dulang hantaran yang terdiri daripada set barang kemas Lazard Diamonds, kasut berjenama Christian Louboution, beg tangan jenama Dior, sehelai pakaian, senaskah Al-Quran, manisan kurma bersama kek, sirih junjung dan bunga rampai sementara wang hantaran sebanyak RM19999.99.
Manakala Uzair pengantin lelaki pula menerima 9 dulang hantaran yang terdiri daripada sebuah Mac Book, sepasang kasut jenama Hermes, seutas jam tangan Cartier, dompet jenama Bottega Veneta, sehelai baju melayu, senaskah Al-Quran, coklat berserta kek, sirih junjung dan bunga rampai.
“Hoi, sini-sini..” Bunyi satu suara. Liya yang sibuk melayan tetamu itu menoleh. Minah senget rupanya. Tergelak dia seketika.
“Eh Mira, bila kau sampai? Sampai hati kau tak datang masa akad nikah aku..” Rungut Liya.
“Aku balik Kuantanlah, sorry ok..eh ikut aku kejap, aku nak tanya kau soalan cepumas ni. Kau ni memang nak kena tau!” Kata Mira sambil menarik tangan Liya ke arah sudut yang tiada orang. Pelik Liya dibuatnya. Uzair yang sibuk melayan tetamu sempat mengerling ke arah Liya dan Mira. ‘Perempuan bodoh!’ desisnya.
“Ada apa ni Mira, kau jangan!! Aku baru je kahwin. Takkan kau nak culik aku kot..” seloroh Liya.
“Ya! Memang aku nak culik kau, nak aje aku humban dalam kolam ikan kau ni. Apasal kau tak cakap yang lelaki tu dia huh?” Tanya Mira sambil mencekak pinggang. Bengang!
“Lelaki mana pula kau ni..? Ish, pelik-peliklah kau ni Mira..” Balas Liya. Sengaja mahu menambahkan perasa bengang Mira.
“Lelaki mana? Suami kau tulah, aku ketuk sungguh kepala kau ni karang..”
“Oh..huh, jadi kenapa pulak?” Sengaja ke‘blur’annya dipamerkan. Liya kemudiannya memandang ke arah tetamu yang memandangnya lalu dia memberikan senyuman.
“Kenapa pulak erk? ni hah rasakan hadiah kau ni..” Mira mengetuk kepala Liya.
“Aduh!” Liya mengaduh.
“Kenapa kau tak cakap kat aku yang suami kau adalah lelaki yang sama kita jumpa tempoh hari. Patut pun aku rasa macam pernah jumpa je suami kau tu..”
“Ya ke aku belum beritahu? Sorrylah beb aku tak beritahu kau. Aku pun terkejut jugak hari tu. His name is Megat Uzair Zafri”
“Patut pun kau diam aje lepas tu ya. Weh, agak-agaklah kau nak cari suami pun, takkan lelaki macam tu kot..” Kata Mira.
“Dah jodoh aku nak buat macam mana. Beb, yang kita tengok hari tu salah faham je. Tak seperti apa yang kita bayangkan. Perempuan tu memang macam tu, terdedah dengan kehidupan barat, dan Zair tak sempat nak mengelak. Mereka tu hanya kawan je. Tak lebih dari tu..” Jelas Liya.
“Mana kau tahu ni?”
“Zair yang cakap..”
“Dan kau percaya bulat-bulat apa yang dia cakap?” Soal Mira.
Liya menganggukkan kepalanya. Sebaliknya, Mira hanya menggelengkan kepalanya. ‘Lurus bendul jugak kawan aku yang sorang ni.’ Sempat Mira mengutuk kawannya itu.
“Macam susah je aku nak percaya. By the way, tahniah porengggg..” Ujar Mira. Belajar sampai oversea tapi sebut friend pun porengggg. Macam-macam manusia sekarang ni.
“Thanks Mira. Eh eh, jemputlah makan..”
Tetamu yang hadir lama-lama semakin berkurangan. Yang tinggal hanya sanak-saudara Liya. Makanan pun hanya sedikit saja yang tinggal. Maklumlah kenalan ramai. Cuaca pun mula mendung kelihatan menandakan hari akan hujan tidak lama lagi.
“Awak, ikut saya sekejap..” Liya terkejut sedikit kerana Uzair menarik tangannya dari belakang.
‘Datang dari mana pula dia ni, tadi aku cari tak jumpa pun..’ Kata Liya dalam hati.
“Pergi mana awak..?”
“Jumpa kawan saya kejap, dia dah nak balik tu..” Jelas Uzair. Dia menarik tangan Liya menuju ke khemah di hadapan banglo itu. Kelihatan dua orang yang berada di situ, seorang lelaki dan seorang perempuan. Perempuan?
‘Macam pernah tengok je perempuan ni..Oh ya, Julia.’
“Feez, nilah isteri aku, Liya. Awak ni Hafeez, kawan saya..” Uzair memperkenalkan isterinya kepada kawannya itu. Nampak gayanya makin berbakatlah Uzair ni berlakon kalau sepanjang masa hanya duk mengasah bakat je.
“Hafeez..” Izman memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan ingin berjabat.
“Liya, just call me Liya..” Balas Liya sambil berjabat tangan. Meluat pula Uzair yang melihatnya. Kemudian dia berdehem. Lantas Hafeez menarik tangannya dengan pantas. Bukan dia tidak tahu dengan sikap sahabatnya itu. Cemburu melebih. ‘Cemburu? Takkan cemburu kot, habis Julia ni nak letak mana?’ Hafeez bermonolog. Sememangnya dia tahu semua tentang perkahwinan itu. Setiap masalah Uzair akan menceritakan kepadanya. Kesian juga dia melihat gadis di hadapannya itu. Tidak pasal-pasal dipermainkan oleh kawannya itu.
Hafeez hanya tersenyum memandang muka masam kawannya itu. ‘Zair, zair.’ Hafeez melepaskan keluhan.
“Yang ni pula Julia, awak kenal kan?” Tanya Uzair kepada isterinya.
“Kenal nama jelah, tuannya saya tak kenal..” Balas Liya. Kemudian dia menghulurkan tangan. Senyum.
“Julia..” Balas Julia acuh tak acuh. Huluran tangan Liya hanya disambut dengan hujung jarinya saja. Menyampah betul dia. Kalau tidak kerana harta Uzair. Tidak ingin dia terlibat dengan keluarga itu.
Rancak Uzair berborak dengan Hafeez. Liya hanya menjadi sekadar pendengar. Tanpa disedari olehnya, Julia yang mengenakan pakaian seksi itu sempat bermain mata dengan suaminya itu. Uzair yang asyik berborak itu juga sekali-sekala mengerling ke arah Julia. Bimbang diketahui Liya. Alangkah bagusnya jika dia tidak perlu berpura-pura. Ikutkan hatinya, mahu saja dia melayan kekasihnya itu di hadapan isterinya saat itu.
By the way, Julia can we make a move now? I have something to do selepas hantar you balik.” Soal Hafeez pada Julia. Sememangnya mereka datang ke situ bersama.
Yeah, why not..Well, we have to move now. See you later Zair.” Kata Julia sambil menghulurkan tangan kepada kekasihnya itu. Gedik semacam je minah plastik ni. Tersenyum Uzair seketika.
And you...Tengku...sorry, i just forgot your name...whatever! Hope we can meet again someday, maybe with different status, who knows.” Tutur Julia dengan tuturan penuh makna. Liya sedikit pelik dengan kata-kata Julia itu. ‘Apa yang tak kena dengan perempuan ni sebenarnya. Aku tengok psiko semacam je.’ Desis Liya. Uzair di sebelah Liya hanya tersenyum sinis.
“Kita orang balik dulu Zair. Ingat, don’t hurt her. If you don’t love her just let her go.” Hafeez berkata perlahan kepada sahabatnya itu. Kemudian bahu sahabatnya itu ditepuk perlahan. Sempat senyuman menghiasi bibir Hafeez ketika itu.
‘Kau tak faham Feez.’ Jawab Uzair dalam hati.
I talk to you soon.” Bisiknya.
Sebelum mereka beredar Hafeez sempat membisikkan sesuatu ke telinga Liya.
“Apapun yang berlaku after this, please be strong okay.” Bisik Hafeez. Kemudian dia melemparkan senyuman penuh makna kepada Liya. Dia berharap agar Liya kuat selepas ini.
Liya tercengang seketika. Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh lelaki itu? Wajah suaminya tenung seketika. Kosong!
“Jom!” Uzair mengajak Liya memasuki rumah setelah kekasih dan sahabatnya itu beredar.
You look so gorgeous today. My only and lovely wife.” Kata Uzair sambil mengucup tangan Liya. Lakonan mestilah mantap!
Liya terpaku seketika. Mimpi apa yang sedang dialami olehnya saat itu? Jiwanya semakin dibelai. Adakah suaminya itu benar-benar ingin memulakan hubungan itu dari awal dengan memupuk rasa cinta kepadanya? Itulah harapannya.
Hari yang memenatkan bagi pasangan pengantin itu. Mereka berjalan beriringan memasuki rumah.

**************************************************

Uzair di dalam bilik dibiarkan oleh Liya. Selepas solat isyak dia turun ke bawah untuk membantu apa-apa yang patut. Tidak selesa pula dia berada di bilik dan berdua-duaan dengan suaminya itu. Walaupun badannya meminta untuk direbahkan namun dia gagahkan jua kerana dia masih belum biasa dengan keadaan itu.
“Uzair mana Liya?” Tanya Tengku Halim setibanya Liya di ruang tamu. Masih banyak sanak-saudara mereka yang belum pulang.
“Ada dekat bilik, rehat. Penat sangat nampak gayanya.,” Balas Liya.
“Habis yang kamu ni tak reti nak rehat ke? Biasanya pengantin baru macam kamu ni susah nak berenggang..” Usik Tengku Hasiah.
“Alah mama ni, tak habis-habis nak mengusik Liya. Liya nak tolong apa-apa yang patut. Takkan nak tengok je, ni kan majlis Liya..” Jawab Liya.
“Yelah, pergilah tolong Mak Yam dekat dapur, sorang diri je dia mengemas. Mama nak naik solat kejap..” Ujar Tengku Hasiah.
“Lah, belum sembahyang lagi kamu Yah. Abang ingatkan dah sembahyang..” Kata Tengku Halim.
“Belumlah ni, Yah naik dululah..” Balas Tengku Hasiah lalu bergegas menaiki tangga.
Liya hanya tersenyum. Kemudian dia mengatur langkah menuju ke ruangan dapur. Walaupun menggunakan perkhidmatan katerer, dapur tetap bersepah. Inilah baru dinamakan kenduri. Kalau tak bersepah tak sah.
Liya melihat Mak Yam terbongkok-bongkok mencari sesuatu di dalam kabinet bawah sinki. Tersenyum Liya seketika, adalah tu rancangan dia.
“Hah! Mak Yam, cari apa?!!” Sergah Liya.
“Opocot tikus mondok cium raja..” Tatah Mak Yam. Terhantuk sedikit kepalanya. Apalah Liya ni, kesian Mak Yam dibuli macam tu.
Liya gelak bagai nak rak. Buruk bebenor. Dari dulu lagi dia selalu mengusik Mak Yam. Ada-ada saja ideanya. Kalau tak usik tak sah.
“Lah Liya rupanya, Mak Yam ingatkan siapalah. Ish budak bertuah ni, sakit kepala Mak Yam terhantuk dibuat kamu.”Kata Mak Yam sambil menampar lengan Liya. Hah, kan tak pasal-pasal kena tampar. Rajin sangat mengusik orang.
“Hehe..” Liya hanya ketawa.
“Dah jadi isteri orang pun nakal ya Liya ni..” Mak Yam menggelengkan kepala.
“Alah Mak Yam ni, status je lain, perangai still sama tau. Comel, angun, menawan gitu..” Liya mengangkat keningnya. Comellah sangat buat macam tu. Comel lagi kucing parsi miliknya.
“Kamu ni, ada-ada saja jawapannya. Hah, yang tercegat dekat situ je buat apa. Marilah tolong Mak yam ni. Ada juga faedahnya.” Bebel Mak Yam.
“Baik bos!” Jawab Liya. Mak Yam menggelengkan kepalanya.

Liya menolong Mak Yam apa-apa yang patut. Tolong punya tolong angka jam sudah menunjukkan pukul satu pagi. Sekejap je masa berganjak. Sunyi sepi rumah itu menandakan kebanyakan semua orang sudah pun tidur.
“Liya pergilah naik, Mak Yam pun dah nak masuk tidur ni..” Kata Mak Yam. Liya yang asyik mengelap pinggan itu memandang ke arah Mak Yam.
“Mak Yam pergilah tidur dulu, Liya nak selesaikan sikit je lagi ni..” Balas Liya. Kemudian dia menyambung kembali kerjanya itu.
“Baiklah, Liya jangan tidur lambat sangat. Tak baik buat suami tertunggu-tunggu tau.. Malam pertama pula tu.” Usik Mak Yam.
“Ish Mak Yam ni, ke situ pulak dia. Kejap je ni, nanti siap Liya naiklah..” Mak Yam hanya tersenyum mendengar kata-kata Liya. Dia kemudiannya mengatur langkah menuju ke biliknya.

Uzair bersiap-siap di dalam bilik. Kunci kereta diambil. Bergegas dia ke muka pintu. Tombol pintu dipulas. Liya yang berada di hadapan pintu itu terkejut setelah tersembul muka suaminya. Setelah selesai mengelap, dia terus naik ke biliknya. Tetapi teragak-agak untuk membukanya sehinggalah pintu itu terbuka dengan sendirinya dari arah dalam. Liya yang melihat suaminya yang sudah bersiap itu agak pelik.
“Awak nak pergi mana ni?”
“Saya nak keluar kejap, ada kerja..”
‘Menyusahkan aku betullah dia ni.’ Desis Uzair dalam hati.
“Keluar? Kan dah pagi ni, awak nak pergi mana ni?” Tanya Liya lagi.
‘Ish perempuan ni, banyak pula soalannya. Suka hati akulah nak pergi mana pun!’
“Saya nak ke ofis kejap, ada kerja. Awak tidurlah dulu. Kejap lagi saya balik..” Jelas Uzair. Kemudian dia mengucup dahi Liya, selepas itu dia mengatur langkah meninggalkan isterinya itu di hadapan pintu bilik.
Liya bagaikan tunggul ditinggalkan sebegitu. Dia melihat suaminya itu tergesa-gesa membuka pintu rumah. Tidak lama kemudian bunyi deruman enjin kereta kedengaran. Liya hanya melepaskan keluhan sambil meraba bekas kucupan suaminya itu tadi. Masih hangat!

Liya membersihkan dirinya. Orang kata mandi malam tak elok. Tapi kalau dah badan rasa melekit. Takkan nak biarkan macam tu je kan. Memang tak tidurlah jawabnya malam tu. Selepas mandi Liya sempat mengerjakan solat sunat. Selepas sembahyang dia berdoa.
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Kau ampunilah dosa ku yg telah ku perbuat. Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas. Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal. Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan. Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista. Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu. Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan.”
“Ya Allah. Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu di Arash. Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya. Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titianMu. Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untukku di JannahMu. Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu. Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati olehMu. Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya.”
“Tetapi Ya Allah, sekiranya suamiku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang. Kau tunjukkanlan aku jalan yangg terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu. Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia Mu. Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan. Kurniakanlah aku kekuatanMu untuk aku memperbetulkan keadaanya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan. Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena.”
“Ya Allah, Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku. Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan ketelanjuranku. Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan. Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai. Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri. Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhiratMu. Sekiranya aku engkar dan derhaka. Berikanlah aku petunjuk ke arah rahmatMu.”
“Ya Allah sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu. Aku buta tanpa bimbinganMu. Aku cacat tanpa hidayahMu. Aku hina tanpa RahmatMu.”
“Ya Allah, kuatkan hati dan semangatku. Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu. Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami. Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu. Bimbinglah aku menjadi isteri Solehah. Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan. Kerana aku pasrah dengan dugaanMu. Kerana aku sedar hinanya aku. Kerana aku insan lemah yang kerap keliru. Kerana aku leka dengan keindahan duniamu. Kerana kurang kesabaranku menghadapi cabaranMu. Kerana pendek akalku mengharungi ujianMu. Ya Allah Ya Tuhanku. Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati. Isteri yang dikasihi. Isteri yang solehah. Isteri yang sentiasa dihati. Amin, amin Ya Rabbal Allamin.”
Sungguh syahdu mendengar doa seorang isteri. Sesungguhnya seorang isteri harus mentaati suaminya. Ini terbukti dalam hadis.
Aisyah pernah menceritakan: Aku bertanya Rasulullah:
“Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?”
Jawab Nabi:
“Suaminya..”
Aku bertanya lagi:
“Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?”
Jawab Nabi:
“Ibunya..”
Hadis riwayat Al-Hakim dan beliau mensahihkannya dan Al-Bazzar dengan sanad yang baik.
Malam itu Liya tidur bertemankan bantal peluk. Dia sendiri pun tidak tahu bila dia tertidur. Penat menunggu suami yang tidak pulang-pulang.

*************************************************

Uzair memberhentikan keretanya di atas jambatan Sri Wawasan sekitar Putrajaya. Sepatutnya pagi-pagi buta macam ini digunakan untuk melepaskan lelah selepas penat bekerja di siang hari. Tapi tidak pula bagi Uzair. Sanggup dia keluar sekadar ingin berjumpa kekasihnya Julia. Isteri di rumah ditinggalkan begitu sahaja. Sungguh malam nasib sang isteri. Pada malam pertama perkahwinannya pula tu. Masih adakah orang seperti Uzair di dunia ini? Tegar memperlakukan isterinya sebegitu.
Julia yang sedia menanti Uzair itu masam mencuka. Entah apalah masalahnya itu. Tidak tahu tidur ke dia ni?
Uzair melangkah keluar dari keretanya dan melangkah menghampiri Julia. Dia perlu menjelaskan kepada Julia kenapa dia bertindak mengahwini Liya. Dia tidak mahu kekasihnya itu salah anggap tentang perhubungannya dengan Liya.
“Hah, ada apa you nak jumpa I pagi-pagi ni? Dah puas melayan isteri, sekarang ni you nak I layan you pulak? Inilah lelaki, tak cukup dengan satu.” Sengaja Julia mengumpan Uzair dengan berkata sedemikian. Bukan dia tidak tahu yang Uzair ingin memujuknya saat itu.
No, I’m yours. She’s just nothing. Inside of my heart it’s only you. Only you Julia. Please trust me. Let’s me explain Julia. I buat semua ni bukan kerana I sukakan perempuan tu, ni semua I buat sebab I tak nak papa I tarik balik jawatan I dekat Mega Holding. You kan tahu yang jawatan tu penting bagi I..” Jelas Uzair. Dia kemudiannya menggenggam tangan kekasihnya itu namun segera ditepis olehJulia.
I don’t buy it!! Don’t you ever touch me again!!”
“Alah, semua tu alasan you aje kan. You kata you takkan kahwin dengan perempuan tu. Tapi apa yang terjadi sebaliknya. You’re married and me? You’ll push me away from your life! I ni kekasih you tahu tak! Demi you, I sanggup berlakon tadi depan perempuan tu, tapi apa yang I dapat? Nothing!! Kalau ikutkan hati I ni, nak je I ganyang perempuan tu cukup-cukup. Dasar perempuan perampas!!! Tapi disebabkan I jaga nama baik you I sabar..” Balas Julia. Overlah pulak minah ni. Okeylah tu, sama-sama pandai berlakon. 2 kali 5.
“Julia, you nak ke kalau papa I tarik balik apa yang dia bagi dekat I sebelum ni. I tak tanggup tahu tak. You kenalah faham kenapa I buat semua ni.. I promise you, semua ni takkan lama. I akan ceraikan dia”
Julia hanya mendiamkan diri. ‘ Kalau tidak kerana harta kau dah lama aku tinggalkan kau tahu tak!’ balas Julia dalam hati.
“Sayang, listen to me please. Walaupun I dah beristeri, she’s just nothing, I tak anggap dia isteri I dan semua tu akan terus berlaku till the end of our marriage. I hanya cintakan you sorang je. Just pretend that she doesn’t exist in our life..” Pujuk Uzair lagi. Dia kemudiannya kembali menggenggam tangan Julia. Kali ini tidak pula Julia menepisnya.
Promise yang you hanya cintakan I sorang je?”
I promise you sayang..” Balas Uzair.
Julia kemudian melentokkan kepalanya di bahu Uzair. Tersenyum dia selepas itu. Memang mudah baginya untuk mempermainkan perasaan lelaki itu. Eloklah tu, Uzair mempermainkan Liya, Julia pula mempermainkan dia pula. Dah nasib kau Uzair. Benda yang dikejar adalah racun, yang madu di depan mata buat-buat tak nampak. Kau juga yang menyesal di kemudian hari.
Cinta? Sememangnya indah kalau dihayati. Secebis perasan telah Allah campakkan ke dalam diri manusia. Iaitu kasih sayang sesama manusia. Sudah lumrah bagi insan bernama manusia untuk berpasangan. Tapi kasih sayang yang abadi hanya kasih sayang Allah terhadap hambanya. Cintailah insan yang dicintai Allah nescaya kamu akan menemui kebahagian hidupmu kelak.

Uzair memulas tombol pintu bilik perlahan-lahan. Risau juga kalau ada yang perasan kepulangannya. Jam di dinding menunjukkan pukul tiga pagi.
“Nasib baik takde orang yang sedar..” Bicara Uzair perlahan. selepas dia memasuki bilik itu, pintu ditutup perlahan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi pun. Kemudian dia terpandang sekujur tubuh di atas katil.
“Nasib baik yang ni pun tidur, kalau tak jenuh aku nak menjawab. Mana aku nak tidur ni..?” Tanya Uzair kepada dirinya sendiri. Ruang kosong di sebelah Liya dipandang.
“Takkan nak tidur kat situ kot? Ish, tak nak aku..” Kemudian dia mengerling  ke arah sofa yang terdapat di ruang bilik itu. Selepas itu dia kembali mengerling ke arah katil. Kakinya perlahan-lahan mula mengatur langkah  ke arah katil. Muka polos Liya yang sedang tidur direnung. Diperhatikan wajah Liya yang nampak tenang itu lama. Kemudian dia tersedar akan tindakannya itu.
“Ish, apa aku buat ni?”
Uzair meraup mukanya berkali-kali. Selepas itu dia mengambil bantal di sebelah Liya. Saat dia ingin berlalu ke arah sofa dilihat isterinya itu seakan-akan mahu tersedar. Cepat-cepat dia menuju ke arah sofa. Dibaringkan tubuhnya melentang di atas sofa dengan segera.
Liya yang terasa sejuk bahana air-cond yang dipasang tersedar. Remote yang terletak di atas meja sisi katil dicapai lalu suhu ditinggikan sedikit. Dia yang ingin kembali merebahkan badannya itu terpandang sesusuk tubuh yang berada di atas sofa. ‘Awak!!’
Suaminya yang disangka sedang lena itu  didekati. Tidak sampai hati pula hendak dikejutkan. Kemudian dia menuju ke arah almari lalu membukanya dan mengambil comforter. Suaminya yang berada di sofa itu kembali didekati. Dengan perlahan-lahan tubuh suaminya itu diselimutkan. Dengkuran halus suaminya itu menarik perhatiannya. Dia kemudiannya duduk bersimpuh di tepi sofa itu. Wajah suaminya dipandang. Sungguh lucu muka Uzair ketika tidur. Liya yang merenung muka suaminya itu tersenyum seorang diri. Dielus-elus muka suaminya perlahan.
Tanpa dia sedar, kucupan diberikan di dahi Uzair. Liya yang tersedar akan kelakuannya itu segera bangun dan bergegas ke katil. Pipinya yang memerah itu ditekup dengan tapak tangan. Malu. Sudah jatuh cintakah dia dengan Uzair?
Uzair yang perasaan akan isterinya itu sedang menghampirinya memejamkan matanya. ‘Elok aku buat-buat tidur lagi baik. Nanti tak pasal-pasal banyak pula soalan yang ditanya.’ Fikirnya.
‘Ish! Dia ni tak reti-reti nak tidur ke? Aku nak tidur pun tak senang kalau sibuk duk perhatikan aku macam ni. Apa kau ingat teruk sangat ke cara aku tidur ni?’ Uzair mengomel dalam hati namun matanya masih dipejamkan. Tiba-tiba dia berasa dirinya bagaikan diselimutkan. Terdiam dia seketika. ‘Baiknya dia.’ Tanpa Uzair sedar, dia memuji isterinya itu.
Kini isterinya itu sedang duduk bersimpuh di tepinya.
‘Kalau macam ni, sampai esok aku tak tidur. Dia ni tak reti nak tidur ke? Mata aku ni dah mengantuk tahu tak!’ Geram pula Uzair bila dirinya yang disangka sedang tidur itu diperhati. Dengan rasa tidak sabar ingin melihat apa yang sedang dilakukan oleh isterinya itu, Uzair membuka sedikit matanya perlahan-lahan. Nasib baik cahaya bilik itu suram.
Dup dap dup dap. Jantung Uzair berdegup kencang saat matanya dibuka sedikit. Dilihat isterinya itu menunduk ke arah mukanya. Semakin dekat muka isterinya dengan mukanya semakin kencang jantung berdetak. Parah, sungguh keadaan ini parah. Boleh sakit jantung dia diperlakukan sebegitu.
‘Dia ni nak apa sebenarnya ni?’ Uzair tertanya-tanya namun dia masih berdiam diri. Menanti tindakan apa yang mahu dilakukkan oleh isterinya itu.
Dekat, semakin dekat. Saat bibir Liya ingin menyentuh dahi suaminya, Uzair memejamkan mata. Cup!

Jantung Uzair terhenti seketika. Saat kucupan terlerai jantungnya yang tadi berdetak kencang kini berdetak dengan lebih kencang. Matanya kini sudah terbuka luas namun kelibat isterinya itu sudah tidak kelihatan di depan mata. Tidak berkelip matanya saat itu. Walaupun jantungnya penat berdetak namun dia sendiri tidak tahu kenapa tiada sebab baginya untuk marah dengan tindakan isterinya itu. Tangan kanannya diletakkan di atas dada bahagian jantungnya. Dirasai degupan jantungnya itu. Oleh sebab terhibur dengan rentak irama jantungnya itu, dia sendiri tidak tahu matanya terlelap.

Comments

Popular Posts

Duka Bersulam Cinta bab 1

Duka Bersulam Cinta bab 8