Duka Bersulam Cinta bab 12


SELESAI solat di masjid Putrajaya, Liya kembali memandu. Memandu tanpa arah tuju yang jelas. Sedar-sedar, dia sudah berada di kawasan pinggir tasik presint 2. Lama dia termenung di dalam kereta. Entah apa yang bermain di fikirannya saat itu pun tidak tahu. Sungguh fikirannya berkecamuk. Geram, kesal, kecewa, semuanya bercampur menjadi satu.

Cahaya lampu warna warni yang kelihatan dari Jambatan Sri Wawasan itu menarik perhatian Liya. Engine kereta dimatikan. Dia ingin mencari kedamaian di situ. Kelihatan masih ramai orang yang berada di situ walaupun sudah lepas waktu maghrib. Siap ada yang buat ‘projek’ lagi. Apa nak jadilah dengan orang sekarang ni.

Liya hanya duduk termenung di dalam kereta tanpa keluar. Air matanya laju menuruni pipi yang putih gebu itu. Sakit? Ya hatinya sakit sangat bila mengenangkan apa yang dilihat petang tadi. Kenapa suaminya itu sanggup memperlakukan dirinya sebegitu. Adakah kata-kata cinta, sayang suaminya itu hanya sebuah dusta? Sungguh hatinya bagaikan ditusuk-tusuk dengan sembilu. Sakit yang amat sangat. Malah, jika ditoreh sekalipun, rasa sakit itu tidak dapat menandingi rasa sakit yang dialaminya sekarang.

Ngilu, pedih dan perit hati saat itu. Kenapa rasa itu perlu wujud? Sungguh rasa itu menyeksakan. Liya memukul-mukul dadanya berkali-kali. Mungkin dengan berbuat sedemikian hatinya tidak merasa sakit seperti sekarang. Tapi perbuatan itu hanya sia-sia, hati mana yang tidak sakit bila dipermainkan oleh suami sendiri.

“Kenapa abang buat Liya macam ni..” Rintih Liya. Air mata yang mengalir semakin laju membasahi pipi.

“Abang buat Liya sayang dekat abang tapi ini pulak yang abang buat dekat Liya. Apa salah Liya bang? Ya Allah, sakitnya hati aku ni. Kenapa kau duga aku macam ni sekali?” Sayu suara Liya kedengaran. Sesungguhnya hati perempuannya begitu tersiksa dengan apa yang dilakukan oleh suaminya.

“Kenapa abang tipu Liya? Kenapa bang? Julia memang kekasih abang kan. Tapi kenapa abang mempermainkan perasaan Liya? Abang kata abang cintakan Liya, tapi abang tipu. Julia cinta hati abang!!” Dadanya kembali dipukul. Kali ini kuat sedikit dari tadi.

Liya benci dengan dirinya sendiri. Benci kerana mudah percaya dengan kata-kata lelaki. Benci kerana mudah jatuh cinta kepada suami yang bernama lelaki. Dugaan apa yang sedang dialami olehnya saat itu? Kenapa dia diuji sedemikian? Kenapa kejadian itu yang dilihatnya petang tadi? Kalau dia tidak melihatnya, mungkin bahagia yang sedang dikecapi olehnya sekarang. Ya, bahagia disamping suaminya. Tapi sekarang, kebahagian itu sudah berhancur!

Tanpa Liya sedar jam sudah berganjak ke pukul 10 malam. Lama dia berada di situ, melayani perasaan sedih, kecewa dan segala macam perasaan yang berkecamuk dalam dirinya. Engine kereta dihidupkan. Balik? Ya dia mahu balik. Walau macam mana sekalipun, kenyataan itu dia harus terima. Menangis air mata darah sekalipun, dia tetap bergelar seorang isteri. Ya, isteri kepada lelaki yang bernama Megat Uzair Zulfiqar. Sama ada duka, kebahagian atau apa saja yang bakal diharunginya harus dihadapi dengan redha. Dia sedar dirinya hanya makhluk, makhluk yang akan sentiasa diuji oleh Penciptanya dalam apa jua keadaan. Dia harus tabah, tabah mengharungi badai melanda dirinya.

TIDAK senang duduk Uzair dibuatnya. Setiap lima minit pintu utama dibuka. Sudah berapa kali dia membuka tutup pintu itu tetapi Liya masih belum pulang. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Usahkan kelibat isterinya itu, bayang-bayangnya pun belum muncul-muncul lagi. Nombor telefon Liya? Usah cakaplah, kalau telefon bimbitnya itu pandai bercakap, sudah pasti dia mengatakan yang dia pun sudah penat mendail nombor yang sama.Sudah berapa kali Uzair mendail nombor handphone isterinya itu tetapi hanya kedengaran operator peti suara voice mail yang bercakap. Talian tidak diaktifkan. Bertambah runsing Uzair dibuatnya. Sebelum ini, belum pernah Liya pulang selewat itu. Dia bagaikan cacing kepanasan di rumah itu. Sekejap ke hulu sekejap ke hilir.

Uzair melabuhkan punggungnya di sofa. Mukanya diraup berkali-kali. Jelas kelihatan yang dia betul-betul risaukan Liya. Selepas pulang dari pejabat tadi dia terus pulang ke rumah. Dia yakin sangat yang Liya sudah berada di rumah ketika itu tetapi bila sampai saja di rumah dia dapati yang isterinya itu masih belum pulang. Dia beranggapan mungkin isterinya itu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat pulang ke rumah. Sebab itulah dia tidak begitu cemas ketika itu. Tapi lama kelamaan dia menjadi cemas, bimbang kerana isterinya itu tidak muncul-muncul sehinggalah sekarang.

Tiba-tiba kedengaran pintu utama dibuka. Terus saja Uzair bangun dan melulu ke arah pintu itu. Yakin benar dia yang Liya sudah pulang. Saat matanya terpandang raup wajah Liya, hatinya berasa lega. Liya memasuki rumah sambil membimbit tas tangannya. Jelas kelihatan wajahnya lesu. Dari penggamatan Uzair, muka isterinya itu kelihatan sedikit sembab bagaikan baru lepas menangis. Sungguh dia pelik melihat keadaan isterinya saat itu.

Liya melangkah longlai menuju ke ruang tamu tanpa menghiraukan suaminya. Dia melewati Uzair tanpa sebarang teguran yang meniti dibibirnya. Malah suaminya yang berdiri tegak di hadapannya ketika itu tidak disapa. Tiada mood untuknya berbuat demikian malah bagi Liya, kalau dia berbuat sedemikian pun tindakkannya itu hanya sia-sia, bukan dirinya pun yang bertahta di hati suaminya itu tetapi sebaliknya Julia yang menjadi penghuni sejak dulu lagi.

Uzair semakin pelik melihat kelakuan isterinya itu. Isterinya itu didekati. Jelas telinganya mendengar keluhan yang dilemparkan oleh Liya.

“Liya dari mana ni? Kenapa balik lambat? Dari tadi abang tunggu Liya tau..abang call pun Liya tak berjawab. Agaknya dah beratus voice mails yang abang tinggalkan.” Uzair memulakan bicara.

“Ada kerja..” Jawab Liya acuh tak acuh tanpa memandang suaminya. Kemudian dia melabuhkan punggungnya di sofa yang terletak di ruang tamu itu.

“Kerja? Kan dah lewat malam ni. Takkan banyak sangat kerja Liya tu. Kan Liya dah janji nak balik awal tadi..” Kata Uzair. Dia turut sama melabuhkan punggungnya di sebelah Liya. Hairan dia dengan sikap Liya saat itu. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.

Sorrylah..lain kali tak buat lagi..” Sesungguhnya Liya tiada mood untuk berbahas kata. Perkara yang lepas biarlah lepas. Dia tidak mahu mengungkitkannya kerana hatinya juga yang akan berasa sakit nanti.

“Liya pergi mana ni? Kenapa Liya buat abang macam ni? Abang risaukan Liya sangat-sangat tau..” Ujar Uzair lagi.

“Kan dah mintak maaf, sorry lain kali saya tak buat lagi..”

Uzair tergaman. Pelik kerana Liya tidak membahasakan dirinya sebagai Liya. Kenapa bersaya pulak? Melainkan ada sesuatu yang berlaku.

“Liya, kenapa ni? Ada sesuatu yang tak kena ke? Cuba Liya bagitahu abang. Mungkin abang boleh tolong..” Kata Uzair perlahan. Tangan isterinya digenggam erat.

“Takda apa-apa. Saya okey. Tak payah risaulah..” Jelas Liya. Kemudian dia menarik perlahan pergelangan tangannya. Tidak ingin dipegang oleh suaminya.

“Habis kenapa Liya bersikap macam ni? Nak pandang abang pun macam nak tak nak je. Abang ada buat salah ke?” Uzair sedar yang Liya bagaikan tidak mahu memanggilnya abang dan memandang mukanya.

‘Apa yang tak kena dengan Liya ni. Angin takda, ribut takda.’ Kata Uzair dalam hati.

“Saya penat je. Okeylah, saya nak masuk bilik..” Pamit Liya. Dia tidak ingin berada lama di situ. Dia tidak ingin menunjukkan kesedihannya di hadapan suaminya. Dia tidak ingin nampak lemah. Jika benar suaminya itu mempunyai kekasih, biarlah. Dia tiada hak untuk melarang. Suaminya berhak memiliki mana-mana perempuan sekali pun. Sungguh Liya berkecil hati dengan suaminya itu.

Belum sempat Liya melangkah pergi meninggalkan Uzair diruang tamu, suaminya itu terlebih dahulu menyambar tangannya.

“Liya, abang belum makan lagi. Abang tunggu Liya dari tadi. Ingatkan nak makan malam bersama dengan sayang. Liya dah makan ke?” Tutur Uzair. Memang dari tadi dia menunggu Liya untuk makan bersama. Sebab itulah dia sanggup berlapar malam itu semata-mata mahu makan bersama isterinya.

Sayang? Sungguh hati Liya sakit mendengarnya. Untuk apa lagi bersayang-sayang jika hati tidak memaksudkannya. Perit rasanya, suaminya itu tidak puas-puas bersandiwara.

“Nak makan apa?” Soal Liya mendatar. Dia tahu, walau apa sekalipun yang suaminya itu lakukan padanya, makan minum lelaki itu perlu dijaga. Seorang isteri perlu patuh, mendengar kata-kata suaminya selagi ianya tidak bercanggah dengan agama.

“Apa-apa je yang Liya masak, abang makan..” Uzair melemparkan senyuman kepada Liya. Dia berfikir positif. Mungkin penat dan bebanan kerja membuatkan isterinya itu bersikap sebegitu.

‘Ikutkan hati aku ni, nak je aku masakkan kari gulai Si Julia. Tak pun buat singgang, letak cili banyak-banyak!! Kalau tak ICU, esok masuk paper. ‘CEO MEGA HOLDING MATI AKIBAT TIDAK TAHAN PEDAS.’ Sempat Liya mengomel.

‘Astaghfirullah Liya, apa yang kau fikir ni?’

Uzair hanya menjadi pemerhati. Liya yang sedang sibuk menyediakan makan malam untuk mereka itu dipandang dari belakang. Tiada sebarang patah yang dikeluarkan dari mulut masing-masing. Diam membisu, hanya kedengaran bunyi kereta yang lalu-lalang di jalan raya.

Uzair mendekati isterinya perlahan-lahan. Tubuh kecil isterinya itu dipeluk erat dari belakang. Terkejut Liya dibuatnya tetapi selepas itu dia hanya membiarkan saja suaminya itu memeluknya. Kalau dilarang sekalipun, belum tentu suaminya itu mengendahkannya. Dia sudah masak dengan perangai suaminya itu.
“Abang rindukan Liya sangat-sangat..” Bisik Uzair perlahan di telinga Liya.
Liya memejamkan matanya. Lagi kebohongan yang dikatakan lelaki itu. Dia bahagia dalam penipuan yang dicipta oleh lelaki itu. Kenapa suaminya itu begitu kejam terhadapnya. Liya berasa ada manik-manik halus yang mula membasahi pipinya. Menangislah wahai mata kalau ia akan menghilangkan rasa sakit yang berada di dalam hati Liya saat itu. Menangislah sepuas-puasnya.
“Liya, kenapa ni? Kenapa Liya menangis?” Uzair yang perasan akan isterinya menangis itu terus memusingkan tubuh Liya menghadap ke arahnya.
Liya cuba menyapu air mata yang mula mengalir laju di pipinya tetapi dihalang oleh suaminya itu. Suaminya itu kemudianya menyapu air matanya dengan kedua-dua ibu jarinya perlahan-lahan.
“Syhh syhh, dah jangan menangis. Abang tak mahu tengok sayang menangis. Kenapa ni sayang? Abang ada buat salah ke? Abang minta maaf jika abang ada buat apa-apa salah dengan Liya. sudahlah, jangan macam ni. Kalau Liya sedih, abang lagilah sedih.” Ujar Uzair. Terkejut juga dia kerana tiba-tiba isterinya itu menangis.
Liya hanya menggelengkan kepala. Tidak mungkin dia menceritakan perkara itu pada Uzair. Dia tidak ingin suaminya itu bergembira di atas tangisannya. Jika betul suaminya itu hanya sekadar ingin memainkan perasaannya, suaminya itu sudah berjaya. Hatinya sudah remuk. Jika suaminya itu tahu yang dirinya selemah itu, pasti suaminya itu bersorak gembira. Tidak mungkin sama sekali dia membiarkan perkara itu berlaku.
Uzair terus memeluk tubuh isterinya itu erat. Tidak sanggup dia melihat wanita yang dia cintai menangis. Biarlah dia menjadi bahu untuk isterinya itu melepaskan kesedihan yang berbuku di hati. Biarlah dia menjadi tisu untuk isterinya itu mengelap air mata. Air mata seorang isteri begitu sangat berharga. Bukan untuk disia-siakan sebegitu.
Liya menangis teresak-esak di dada suaminya. Dia mahu menangis sepuas-puasnya. Kalau boleh dia ingin menangis sampai kering air matanya. Sampai tiada nafas yang dirasainya. Sampai tubuhnya berdiri kaku di dalam pelukan suaminya.
Uzair semakin erat memeluk isterinya itu. Belakang isterinya digosok-gosok perlahan. Biar isterinya itu tenang. ‘Abang ada sayang, abang takkan biarkan Liya sedih macam ni lagi. Abang akan jaga Liya. Abang akan sayang Liya lebih daripada abang sayang nyawa abang sendiri.’ Kata Uzair dalam hati. Tertanya-tanya juga dia, kenapa Liya berkelakuan macam tu? Kenapa isterinya itu menangis?
Liya menghidangkan makanan di atas meja sambil diperhatikan oleh suaminya. Matanya sudah bengkak akibat menangis tadi. Nasi goreng yang digoreng itu diceduk ke dalam pinggan. Hanya itu yang mampu dia buat untuk suaminya pada malam itu. Uzair pulak tidak membantah. Dia tahu yang isterinya itu penat.
Pinggan yang berisi nasi goreng itu diletakkan oleh Liya dihadap suaminya. Dia melangkah menuju ke peti ais dan mengeluarkan sekotak orange juice. Gelas di dalam kabinet dibawa keluar. Juice orange itu dituangkan ke dalam gelas dan diletakkan di hadapan suaminya.
“Liya punya mana? Liya tak nak makan ke?” Tanya Uzair.
Liya hanya menggelengkan kepalanya. Dia tiada selera untuk makan. Pandangan matanya diturunkan memandang ke lantai. Dia masih tidak mahu melihat ke arah suaminya. Dengan mukanya yang lebih kurang macam Lady Gaga itu apatah lagi. Nanti tergelak terguling suaminya itu.
Uzair kemudiannya bangun dari kerusi dan menghampiri Liya. Tangan isterinya itu ditarik menuju ke kerusi di sebelahnya. Liya hanya menurut. Kerusi itu ditarik dan dia memandang ke arah Liya. Dia menganggukkan kepalanya tanda menyuruh Liya duduk.
“Duduk! Abang tahu Liya belum makan..” Arah Uzair perlahan namun tetap tegas.
Liya hanya menuruti arahan suaminya itu. Kerusi itu didudukinya. Uzair kemudiannya melangkah ke arah kabinet dan mengeluarkan pinggan kosong. Meja makan didekati kembali dan nasi goreng di dalam bekas nasi diceduk ke dalam pinggan itu. Kemudian dia meletakkan pinggan yang berisi nasi itu dihadap Liya. Dia kembali mengambil tempat di sebelah isterinya itu.
“Makanlah..” Ujar Uzair.
Liya hanya memandang kosong ke arah pinggan nasi itu. Sungguh selera makannya tiada. Nasi dikuis-kuis dengan jarinya. Uzair yang sedang makan itu berhenti dan memandang ke arah isterinya. Nasi di dalam pinggan isterinya itu dipandang. Masih tidak luak sedikit pun.
“La, kenapa tak makan lagi ni?” Tanya Uzair.
Liya yang mendengar pertanyaan suaminya itu memandang sekilas ke arah Uzair. Kemudian nasi di dalam pinggannya itu kembali ditatap.
“Takda selera..” Jawab Liya.
Setelah mendengar kata-kata isterinya itu, Uzair terus mengambil pinggan dihadap isterinya itu. Nasi di dalam pinggan itu digabungkan ke dalam pinggannya. Liya yang hanya melihat tindakan suaminya itu berasa pelik. Takkan dia nak makan semua tu kot? Setahunya, suaminya itu bukannya makan banyak sangat pun. Makan pun sebagai syarat je. Kalau nak diikutkan, dia dengan suaminya itu, dia yang lagi banyak makan. Tetapi kali ini banyak pula. Sebab itulah dia berasa pelik.
Uzair menyuakan nasi ke mulut isterinya itu dengan hanya memakai tangannya. Sememangnya dia tidak gemar memakai sudu. Kalau makan diluar tu lainlah. Tergaman Liya dibuatnya. Patutlah nasi itu digabungkan. Rupa-rupanya suaminya itu ingin menyuapnya. Tidak pula dia terfikir macam tu tadi. Liya memandang suaminya lama. Uzair hanya kelihatan tersenyum.
Say  aaa..” Kata Uzair seraya menyuakan tangannya dengan lebih dekat nasi ke mulut Liya. Dah macam acara suap menyuap budak pulak mereka ni.
Liya teragak-agak untuk membuka mulutnya.
“Cepatlah bukak, dah lenguh tangan abang ni tau..” Kata Uzair.
Liya kemudian membuka mulutnya perlahan-lahan. Tidak ingin usaha suaminya itu dipersia-siakan. Kesian pula dia melihat suaminya itu bersusah payah untuk menyuapnya. Belum sempat nasi masuk ke dalam mulut Liya, Uzair terlebih dahulu melarikan tangannya dan nasi itu disuapkan ke dalam mulutnya sendiri bukannya ke dalam mulut Liya.
“Abang!!” Marah Liya. Suka sangat suaminya itu mengusiknya. Dalam keadaan macam ni pun masih sempat dia nak bergurau.
Sorry sorry, abang gurau je..” Balas Uzair sambil tersenyum. Gembira kerana Liya kembali memanggilnya abang. Nasi yang disuapkan ke dalam mulutnya tadi dimamah hancur kemudian ditelan. Kemudian dia kembali menyuakan nasi ke mulut isterinya. Belum sempat nasi itu memasuk mulut Liya sekali lagi dia melarikan tangannya dan nasi itu disuapkan ke dalam mulutnya. Tergelak-gelak dia melihat muka Liya yang masam mencuka itu. Nasib baik tak tersembur. Kalau tak, mahu dikejar dia dengan Liya.
“Nak suap ke tak ni?” Tanya Liya geram. ‘Orang tengah serius, boleh pulak dia main-main.’ Desis Liya.
“Nak nak..” Kata Uzair sambil ketawa.
Kali ini betul-betul Uzair menyuap nasi ke dalam mulut isterinya. Oleh sebab Liya geram dengan tindakan suaminya yang bergurau dengannya tadi. Dia terus menggigit tangan suaminya itu. Terjerit Uzair dibuatnya.
‘Hah, nak main-main lagi dengan aku. Tak tahu ke hati aku tengah sakit. Masih sempat nak bergurau..’ kata Liya dalam hati.
“Liya! Sakit tangan abang tau. Sampai hati Liya..”
Liya tidak menghiraukan suaminya itu. Pinggan di hadapan Uzair itu diambil dan nasi di dalam pinggan itu dibahagikan kembali dan dimasukkan ke dalam pinggannya. Sesi suap menyuap sudah tamat.
‘Baik aku makan sendiri, nak tunggu disuap bukan main lama. Mahu mati kelaparan aku dibuatnya..’ Marah Liya dalam hati.
Eh dah lapar pulak Liya ni. Tadi bukan ke dia tiada selera. Liya Liya. Uzair yang melihat isterinya yang mula makan itu tersenyum seorang diri. Makan juga akhirnya. Kemudian dia turut sama menyambung suapannya yang tergendala tadi.
Mereka hanya mendiamkan diri semasa makan. Masing-masing membisu tanpa kata. Bagi Uzair sudah cukup baginya kalau Liya makan. Dia tidak mahu isterinya itu meninggalkan makan malam. Dia tahu isterinya lapar. Sebab itulah dia memaksa Liya untuk makan. Masih terfikir-fikir Uzair kenapa Liya jadi macam tu? Adakah berpunca daripadanya? Dia berharap semuanya akan kembali seperti sedia kala keesokkan harinya.


Comments

Popular Posts

Duka Bersulam Cinta bab 1

Duka Bersulam Cinta bab 8